Zaujati

Zaujati,
Kau anugerah
Dari tuhan untuk aku.

Zaujati,
Kau amanah
Dari ayah ibu untuk aku.

Zaujati,
Kau hadiah
Teramat istimewa untuk aku.

Zaujati,
Terus mengayuh dan melangkah
Demi redha Allah

Zaujati,
Anugerah, amanah dan hadiah,
Semangat, dakwah dan tarbiyah,
Cinta, rahmah dan mawaddah,
Untuk aku.

Untukmu zaujati
Nor Arifah.

BSP, 2014

20140520-083402 am-30842833.jpg

Advertisements

Cinta

Mungkin kita sering terfikir,

Bagaimana si bisu dan si buta saling mencintai walau tidak pernah terzahir di mata si buta dan sunyi di mulut si bisu.
Bagaimana seseorang sangat mencintai kucing, haiwan peliharaannya walau bicara mereka tidak sekalipun difahami.
Bagaimana seorang hamba mencintai Tuhannya walau tidak pernah bertemu muka.

Mungkin kita terlupa,

Cinta tidak memerlukan mata untuk dilihat, tidak memerlukan mulut untuk bicara, tidak memerlukan bahasa untuk difahami.

Kerna kita hanya memerlukan hati untuk mencintai.

Zolhelmimdzuki,
Kuantan [03:10 pm]

Muntalaq dan kami

Bismillahirrahmanirrahim.

Antara bahan pertama yang saya dan ahli usrah yang lain bincangkan di Malaysia adalah buku Muntalaq karangan Muhammad Ahmad ar-Rashid. Saya kira buku ini dan penulisnya tidaklah asing terutama dalam kalangan pendakwah haraki. Bahkan siri buku dakwahnya dijadikan bahan wajib untuk dibincangkan dalam usrah, daurah, muktamar dan program tarbiyah yang lain. Ini bukanlah kali pertama saya membaca atau mebincangkannya samada ketika usrah mahupun daurah di UK dahulu, tetapi saya memerlukan satu titik tolak untuk beramal di tanahair sendiri. Maka muntalaq memberikan satu tasawwur yang jelas bagaimana untuk menolak seseorang untuk beramal.

Kami ulang dan bincangkan satu demi satu topik di dalamnya. Jika dahulu ini merupakan satu proses biasa tetapi apabila pulang, kami membincangkannya dalam konteks kami di bumi Malaysia. Bagaimana Abu Ammar (panggilan penulis) membincangkan permasalahan umat Islam kini terasa begitu dekat dengan kami.

Harus saya akui bahawa terdapat kelainan ketika membincangkan karya ini di bumi Malaysia. Saya membaca dan dalam masa yang sama cuba untuk mengaitkannya dengan apa yang kami lalui selama ini. Terasa seolah-oleh ‘familiar’ dengan apa yang ditulis, cuma yang membezakannya ia bukannya di dalam makalah, tetapi direalisasikan di alam nyata. Ia bukannya satu teori tetapi telah dibuktikan di medan amal yang sebenar.

Daripada panji kebaikan yang dikibarkan dengan megah berjaya mengumpulkan orang-orang baik untuk bernaung dibawahnya sehingalah kepada agenda Islam itu ditonjolkan dengan sejelas-jelasnya. Saya kira inilah yang cuba disampaikan oleh abu Ammar. Mengangkat agenda Islam bagi mendepani agenda musuh.

Sepertimana yang dikatakannya, masalah umat Islam pada harini bukanlah pada bilangannya yang sedikit, tetapi kekurangan orang atau kumpulan untuk mengkedepankan panji kebaikan. Menyelusuri sejarah dakwah ISMA di bumi Malaysia yang masih lagi dianggap baru, saya berani katakana bahawa kelompok ini adalah antara kumpulan yang berani membawa agenda Islam ke hadapan secara jelas tanpa berlapik. Setiap apa yang ditulis oleh abu Ammar direalisasikan ke medan amal, terjun ke dalam masyarakat. Inilah yang dikatakan membumikan awanan angan, mengakarkan fikrah dan merimbunkan dakwah.

Semoga Allah memberkati perjuangan ini.

Suatu ketika dahulu

Bismillah.

Agak kekok apabila sudah lama tidak menulis. Alhamdulillah, semakin membiasakan diri dengan realiti kehidupan di Malaysia walaupun sedikit perit dipermulaannya dek kerana keadaan ekonomi yang semakin tenat dari hari ke hari. Tergerak hati untuk menulis entri baru selepas menulis status ini di facebook:

satus

 

Masa kecilku.

Saya bukanlah orang yang suka bercerita tentang keluarga sendiri dan masa silam kami. Hanya kepada orang terdekat sahaja yang saya akan buka mulut, itupun sekiranya ditanya. Selainnya, hanya diam membisu ataupun menjawab sekadar biasa-biasa sahaja.

Saya dibesarkan di felda, walaupun abah bukanlah seorang peneroka felda, tetapi tugasnya sebagai seorang guru yang mengajar di salah sebuah sekolah rendah di tanah racangan felda menyebabkan kami adik beradik membesar bersama anak-anak felda. Resam anak kecil, kehidupan hari-hari dihabiskan tanpa memikirkan sangat masalah dunia. Apa yang tahu, pukul 5.30 petang selepas pulang dari sekolah agama petang, akan berkumpul bersama rakan-rakan bermain permainan kampung. Ikut musim. Jika musim gasing, habis berlubang tanah kami kerjakan. Jika musim layang-layang, habis pokok-pokok penuh dengan layang-layang yang tersekat. Jika musim lompat getah, senyum lebar makcik kedai melihat kami membeli 10 sen atau 20 sen getah gelang.

Saya harus akui, membesarkan 8 orang anak amat mencabar. Memandangkan hanya abah yang bekerja, keadaan ekonomi semakin menghimpit. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak mula membesar. Bagi menampung beban abah, ma menjual askrim malaysia. 20 sen sebatang. Perisa milo, jagung dan asam masin antara yang saya masih ingat. Saya dan adik-adik pula perlu menjualnya di sekolah agama.

Malu!! Setiap petang membawa plastik besar yang penuh dengan asikrim. Ada ketikanya semua habis dijual tetapi ada ketikanya banyak yang terpaksa dibawa pulang semula. Tidak mahu menghampakan ma, kadang kala saya memberikan ais krim secara percuma kepada kawankawan dan menggantikan duit aiskrim tersebut dengan duit belanja sekolah saya. Yang saya tahu, saya ingin lihat ma tersenyum melihat aiskrim yang habis dijual. Bukannya kami adik beradik wajib menghabiskannya, tetapi saya terbayang kesusahan mengisi plastik aiskrim dan mengikatnya. Apalah sangat duit belanja sekolah.

Ikan selar kuning.

Saya masuk sekolah asrama penuh dari Tingakatan 1. Berpisah seketika dari keluarga yang berpindah ke tanah rancangan felda yang lain, juga kerana mengikut abah yang bertugas. Kami adik beradik semakin membesar. Belanja juga semain bertambah. Ekonomi makin menghimpit. Mujur saya mendapat bantuan RM25 sebulan. Duit itulah yang saya gunakan untuk membeli keropok di koperasi sekolah dan keluar ke pekan sekali sekala. Meminta? Jarang sekali.

Pulang bercuti di rumah merupakan antara perkara yang paling dinantikan. Adakala saya bertanya kepada ma, bagaimana kehidupan semasa saya tiada. Kata ma, macam biasa sahaja. Sederhana, sangat sederhana. Pulang dari solat terawikh bersama keluarga, ternampak seekor babi hutan yang sangat besar sedang duduk di depan rumah. Kecut perut juga kami. Itu antara kenangan yang tak mungkin saya lupakan.

Ikan selar kuning merupakan antara ikan yang termurah pada ketika itu. Lauk itulah yang sering masuk kedalam perut kami anak beranak. Itupun kadang kala terpaksa dikerat dua. Saya ambil bahagian ekor, dan adik ambil bahagian kepala. Saya kira tak ramai yang tahu bagaimana bentuk dan rasa ikan tersebut, tetapi bagi kami itulah antara lauk tersedap. Jangan sangka kami susah sangat ya. Adakalanya kami makan juga ayam dan daging, tetapi jarang.

JBH 7509

Abah ada sebuah van. Nissan vanette bernombor plat JBH7509. Kenderaan itulah yang menjadi kenderaan rasmi kami anak beranak. Tiada air cond dan sebagainya. Jika panas terik, berpeluh lah kami di dalam sementara menunggu van bergerak untuk mendapatkan air cond semula jadi (angin). Jika hujan, kadang kala adik beradik yang duduk dibelakang akan basah kerana getah antara pintu dan badan van sudah koyak. Tapi van inilah yang menghantar kami adik beradik ke sekolah asrama dan universiti. Sampai ke Taiping kami pergi bersama van ni. Kenangan sungguh.

Rumah nenek belah mak tidak begitu jauh dari rumah kami. Ada satu hari ketika kami dalam perjalanan menziarahi nenek, abah berhenti untuk mengisi minyak. Aktiviti wajib ketika di stesen minyak ialah memerhatikan meter pam. Berapa yang  diisi oleh abah. Terkedu seketika apabila melihat meter berhenti di RM 5. Cukup-cukup sahaja untuk sampai. Sambil ketawa, abah masuk ke dalam dan menghidupkan van. Tengah bulan katanya.

Ketirisan wang rakyat.

Ini kisah zaman kecil saya. Kira-kira 10-15 tahun yang lalu. Saya kira hari ini masih ada lagi yang senasib dengan saya, bahkan lebih teruk lagi. Negara semakin membangun tetapi ada dalam kalangan rakyat yang kehidupannya sama sahaja dari dahulu, bahkan makin teruk.

Hari ini, laporan audit negara dikeluarkan. Hancur luluh hati saya melihat begitu banyak wang yang dibazirkan sedangkan ramai rakyat yang merempat. Jawapan mereka tetap sama, ‘kami akan cuba memperbaikinya’. Cukup-cukuplah wang amanah rakyat diperlakukan sedemikian rupa.

Mungkin sudah tiba masa, para menteri dan pegawai diwajibkan untuk menghadiri kursus dan hidup bersama rakyat marhaen untuk merasai keperitan hidup di bumi bertuah ini. Orang kata, selag tidak tergigit cili, selagi itulah kita tidak tahu pedasnya.

Hari ini, Alhamdulillah. Keluarga saya semakin baik kehidupannya. Berkat kesabaran dan didikan ma dan abah, kami adik beradik berjaya. Tiba masanya untuk kami membalas segala jasa mereka, insya Allah.

Zolhelmimdzuki,
Kuantan, Pahang.
5 Oktober 2013.

Bodoh

Berada hampir 4 tahun di tanah orang untuk menimba ilmu, ada satu perkara yang saya pelajari iaitu belajar untuk menghormati idea dan pendapat seseorang walaupun bunyinya ‘bodoh’ dan tidak masuk akal. Masuk sahaja mana-mana kelas pembelajaran disini, apabila tiba waktu soal jawab, kita akan selalu mendengar jawapan yang ‘kurang cerdik’ bahkan melucukan daripada pelajar. Pensayarah sering sahaja melayan tetapi dalam masa yang sama membetulkan idea tersebut dalam keadaan yang sangat harmoni tanpa merendahkan nilai intelek pelajar tersebut.

Tiada siapa yang maksum dan tidak melakukan kesilapan melainkan nabi Allah yang dipandu oleh wahyu. Tugas utama mereka yang tahu dan faham adalah membetulkan kesalahan tersebut, menjelaskan kepada mereka yang kabur dan mengemukakan solusi kepada permasalahan yang timbul.

Melabel sesebuah pandangan yang tidak bertentangan dengan kita dengan label bodoh dan tidak cerdik seakan-akan merendahkan nilai intelek pelontar idea asal. Sesebuah idea berhak dikritik tetapi ia juga mempunyai hak untuk dikritik dengan kritis.

Mengkritik pandangan tidak bermaksud turut mengkritik dan menghentam peribadi tetapi ia lebih kepada manifestasi kefahaman kita dalam memahami sesuatu idea ataupun isu. Mana-mana pandangan yang bercanggah selagi mana masih berada dalam kerangka syarak wajar untuk dirai.

Zolhelmimdzuki
Manchester, UK

 

Menu Ramadhan: Kurma kering dengan susu

560959_10151315308977846_1790380256_n

 

Minuman popular Ramadan di Mesir.
Kurma kering dengan susu.

Anda boleh mencuba di rumah 

Bahan-bahan :
– 250 gram Kurma kering (dipotong-potong)
– 250 gram jenis kacang (kismis, walnut, badam, kemiri, pistachio, dll)
1 liter susu penuh krim
3 sudu besar gula putih

Arahan:
Campur kurma kering dan kacang di dalam gelas. panaskan susu dengan api kecil sehingga ia mendidih, tambah gula dan kacau selama dua minit. Kemudian padamkan api.

Tuangkan susu panas ke atas Kurma dan kacang. Tinggalkan campuran selama satu jam sehingga menjadi lembut, kemudian simpan di dalam peti sehingga sejuk kemudian sedia dihidang.

Sesuai diminum ketika berbuka dan bersahur.
Sangat berkhasiat untuk tenaga dan minda.

Selamat mencuba

**Taken from Facebook ISMA Mesir

Kelebihan puasa pada musim panas

Allahumma ballighna Ramadhan
Allahumma ballighna Ramadhan
Allahumma ballighna Ramadhan

Diam tak diam, Ramadhan sudah kian hampir. Bagi kami di bumi United Kingdom, Ramadhan dijangka bermula pada 9 Julai 2013 (sehari awal dari Malaysia). Di sini tiada pengumuman puasa seperti di Malaysia. Kebiasaannya kami menunggu pengumuman dari Central Mosque London sebelum pengumuman rasmi dari pihak Education Malaysia kerana ketiadaan badan pusat yang menjadi rujukan.

Ramadhan pada tahun ini ditakdirkan jatuh pada musim panas. Bagi negara yang terletak di bahagian utara eropah seperti UK, waktu siang boleh jadi sehingga 19 hingga 20 lebih jam. Puasa di musim panas juga boleh jadi sangat mencabar. Tidak kurang yang mengeluh tetapi tidak sedikit yang bersyukur kerana diberi kesempatan berpuasa di musim panas.

Sebenarnya, banyak kelebihan yang kita peroleh ketika berpuasa pada musim panas. Antaranya:

1) Waktu mustajab untuk berdoa lebih panjang

Maksud hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad, Tarmizi, Nasa’i dan Ibn Majah: Ada tiga golongan yang doanya tidak ditolak iaitu penguasa yang adil, orang yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi…

Maka, kita punya waktu yang sangat panjang untuk berdoa kepada Allah. Mintalah apa sahaja daripadaNya, niscaya akan dikabulkan permintaan kita.

2) Terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan

Ketika berpuasa, kita akan lebih menjaga setiap tingkah laku kita bagi memastikan kualiti puasa berada di tahap yang tinggi. Amatlah rugi jika puasa kita hanyalah seperti orang awam yang hanya mendapat lapar dan dahaga. Maka, berada dalam tempoh berpuasa yang panjang akan mengurangkan aktiviti-aktiviti yang lagha. Syaitan sudah dirantai, maka tinggal nafsu untuk ditewaskan. Tewaskanlah ia dalam keadaan kita berpuasa.

Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.’ (HR Ahmad)

3) Keampunan dari Allah

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: ‘Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:

1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kesturi.
2. Para malaikat selalu memintakan ampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, ‘Hamba-hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.’
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Parasahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu malam Lailatul Qadar?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, karena orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya. ‘
(H.R Ahmad)

4) Kegembiraan ketika berbuka puasa

Banyangkan puasa menahan diri daripada lapar dan dahaga selama lebih 19 jam, sudah tentulah waktu berbuka antara waktu yang sangat ditunggu-tunggu.

Dan bagi orang puasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira denganpuasanya.” (HR Muslim)

5) Waktu malam yang pendek

Jika siangnya panjang, sudah tentulah waktu malamnya pendek. Kebiasaanya solat isya akan bermula pada pukul 11 malam (maghrib hampir pukul 10 malam) dan disambung dengan tarawikh selepasnya. Solat tarawikh di masjid kebiasaanya akan berakhir selepas pukul 12 tengah malam. Waktu sahur akan berakhir sekitar jam 2.30 hingga 3 pagi. Waktu senggang yang ada cuma sekitar 2 hingga 3 jam sahaja (tolak masa berbuka dan solat) untuk kita melakukan ibadah malam.

Mungkin kita merasakan itu satu kekurangan, tetapi jika difikirkan kita akan fokus pada sesuatu perkara dan lebih menghargainya jika kita tahu ianya tidak akan lama bersama dengan kita. Begitu juga dengan waktu malam di bulan Ramadhan. Bukankah ralat jika kita tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin?

Sepanjang pengalaman berpuasa di UK pada musim panas, rata-rata masyarakat muslim di sini sangat-sangat menghidupkan malam-malam Ramadhan kerana mereka tahu, waktu malam sangatlah pendek dan rugi jika tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka. Malam-malam dihidupkan dengan ibadah-ibadah sunat seperti tahajjud dan bacaan alQuran. Sepanjang saya ber tarawikh di sini, para imam akan memanjangkan bacaan ketika solat tarawikh pada hujung Ramadhan. Satu rakaat mungkin mengambil masa sehingga 10-15 minit. Kita akan belajar menghargai jika sesuatu itu sedikit bukan?

Inilah antara kelebihankelebihan berpuasa pada musim panas. Banyak lagi kelebihan berpuasa yang tidak dinukilkan disini. Ingin merasainya? Silalah ke sini. Moga Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya.

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan.

Zolhelmimdzuki
Manchester, UK